Berdasarkan keperihatinan yang ditonjolkan oleh rakyat Malaysia, Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menerima satu bantahan ke atas sebuah filem arahan Aidilfitri Mohd Yunos bertajuk “Klip 3GP”. Setelah melihat kepada promo yang dimuat naik di dalam satu laman sosial Youtube oleh gbsbteam kami mendapati tiada lansung nilai positif yang cuba diserapkan melainkan hanya demi meraih keuntungan berdasarkan kontroversi yang diciptakan.
Dewan Pemuda PAS Malaysia terkilan sekiranya ini yang difikirkan oleh pengarah pada zaman sekarang. Demi meraih penonton dan keuntungan, isi kandungan di dalam filem lansung tidak diambil kira. Dewan Pemuda PAS juga tidak menyalahkan 100% kepada pengarah sahaja tetapi di mana panduan dan tunjuk ajar dari LPF ? Bukankah di dalam LPF itu sendiri kononnya dianggotai oleh pakar-pakar di dalam agama jadi mengapa filem seperti ini yang diluluskan oleh mereka ?.
Secara jelas Allah sebutkan di dalam surah al-Israk ayat 32 yang berbunyi
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
“Dan janganlah kalian mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk.”
Justeru mengapa ditunjukkan kepada masyarakat pintu-pintu zina sedangkan Islam melarang untuk mendekatinya sebagaimana larangan untuk berzina.
Dalam laporan Harian Metro, telah disiarkan berita berikut :-
KUALA LUMPUR: Filem 3GP belum ditayangkan tetapi Mimi (One Nation Emcee) mula resah memikirkan penyebaran beberapa klip video dalam Internet yang menyatakan ia adalah rakaman aksi seksnya.
Mimi atau nama penuhnya, Shamimi Amalina Norhisham, 25, berkata dia tidak menyangka ada adegan filem itu yang kini berleluasa tersebar di Internet dengan tajuk yang jelas memaparkan dia melakukan hubungan seks itu.
Menurut Mimi, kebanyakan aksi yang boleh dianggap lucah itu disunting supaya ia nampak seperti adegan sebenar, sedangkan sewaktu penggambaran, watak tambahan atau pendua digunakan supaya kelihatan seperti dirinya.
Dewan Pemuda PAS merasakan ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab bahkan tidak bermoral yang terdapat dalam industri perfileman kita. Bagaimana adegan yang seperti ini yang cuba ditonjolkan sehingga ianya menjadi tatapan awam? Lebih teruk lagi sekiranya apa yang dikhabarkan oleh artis tersebut benar iaitu adegan tersebut dilakonkan seperti adegan sebenar. Sedangkan masih banyak aksi yang boleh dilakonkan supaya ianya kelihatan benar seperti aksi ketika berlawan dan banyak lagi tetapi mengapa aksi di ranjang yang orang-orang kita suka?.
Dewan Pemuda PAS juga mengecam tindakan-tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga melebar luaskan klip-klip panas di dalam filem tersebut. Akan tetapi, untuk menyalahkan mereka secara total juga bukan satu tindakan yang bijak kerana kita melihat siapa yang menyediakan kepada mereka bahan-bahan untuk mereka jadikannnya sebagai kontorvesi ?. Justeru, jangan kita hanya pandai menunding jari ke arah orang lain tanpa melihat di mana kesilapan kita.
Sekali lagi Dewan Pemuda PAS Malaysia menyatakan bantahan kepada pihak LPF agar mengambil tindakan sewajarnya kepada filem ini. Sekiranya tiada tindakan dari LPF dan filem ini ditayangkan juga sebagaimana klip promonya maka ini membuktikan LPF tidak menjalankan peranannya dalam menapis setiap filem yang disediakan untuk masyarakat kita.
Khairul Faizi Ahmad Kamil
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment