Kefahaman nasionalisme telah menjadi ideologi perjuangan kebanyakan bangsa dan negara di seluruh dunia. Fahaman ini juga menjadi akidah perjuangan yang dijunjung tinggi, bukan sahaja kerana ia dipergunakan dalam perjuangan kemerdekaan menentang penjajah asing yang zalim, tetapi fahaman nasionalisme ini diteruskan sekalipuan selepas penjajah itu keluar dan negara berkenaan mencapai kemerdekaannya.

Apa yang lebih parah lagi ada pula yang terlibat bersama musuh menjatuhkan kepimpinan kerajaan Islam yang tidak sebangsa dengan mereka. Akibatnya bumi Islam dijajah dan dibahagikan di kalangan bangsa dan negara yang menjajah umat Islam. Mereka mencapai kemerdekaan pula dengan semangat kebangsaan masing-masing dan mengisi kemerdekaan dengan semangat yang sama, walaupun dalam masyarakat majmuk.
Berbeza dengan zaman pemerintahan Islam yang mengamalkan konsep terbuka kepada semua bangsa dan penganut semua agama. Sikap keterbukaan pemerintahan Islam ini wujud dengan hasrat supaya mesej Islam dapat disampaikan kepada seluruh manusia tanpa paksaan. Pemerintahan Islam ini juga menerima rakyat bukan Islam berbagai bangsa dalam amalan bermasyarakatnya, yang dengan terbuka mengamalkan cara hidup Islam di semua lapangan, termasuklah juga politik.
Keadaan negara yang mengamalkan konsep sekularisme, lebih mudah mencetuskan pertembungan kalangan masyarakat majmuk dalam negara dunia dan negara umat Islam yang mewarisi ideologi ini sejak dari zaman penjajahan. Hal ini menunjukkan bahawa aliran pemikiran yang memisahkan politik daripada agama gagal mengawal perasaan fanatik kaum dan bangsa, walaupun dalam sebuah negara dan pemerintah yang berkuasa mewujudkan takrif nasionalisme dengan makna yang lebih luas mengikut perbatasan tanahair yang sama menjadi tempat bermukim, berkuasa memerintah, dan berada dalam satu parti yang membuka keahlian berbagai bangsa.
Islam agama fitrah tetap mengakui wujudnya berbagai bangsa, bahasa, budaya dan agama, dalam masa yang sama lahirnya perasaan kecintaan kepada bangsa masing-masing mengikut ketetapan Allah yang mustahil dinafi dan dihapuskan. Namun, Islam mempunyai pendekatan yang mengambil kira segala aspek fitrah manusia dari segi individu, keluarga dan masyarakat dalam satu bangsa, satu negara dan seluruh dunia yang luas bidangnya.
Rasulullah S.A.W memulakan dakwah dan perjuangannya bersama keluarga Bani Hasyim, Qabilah Quraish dan bangsa Arab, mengikut arahan Allah Taala supaya mengajak keluarga yang hampir terlebih dahulu kepada Islam. Semangat kekeluargaan juga memberi peranan mempertahankan Rasulullah S.A.W termasuk daripada kalangan yang belum menganut Islam.
Adapun sejarah kegemilangan Islam bermula dengan bangsa Arab, dan tamadunnya pula silih berganti di kalangan bangsa yang paling kuat berpegang dengan ajaran Islam. Menunjukkan tidak kekal dengan kepimpinan bangsa Arab sahaja, walaupun bangsa Arab menjadi pilihan Allah dilantik menjadi Rasul akhir zaman. Apabila bangsa Arab lemah pegangannya kepada ajaran Islam, maka kepimpinan Islam beralih kepada bangsa lain yang menganut Islam, berilmu dan berakhlak mulia.
Semua perkara ini perlu dikaji secara mendalam dan menyeluruh dari sumber ajaran Islam dan sejarahnya, di sepanjang zaman kegemilangannya. Kesemua keadaan tersebut menunjukkan bahawa risalah Islam tetap bersifat sejagat tanpa terikat dengan kaum dan bangsa tertentu, kerana ia adalah matlamat Rasul akhir zaman. Dalam masa yang sama bangsa yang paling kuat berpegang dengan Islam diberi peranan yang besar melaksanakan kewajibannya berdakwah dan memerintah negara bersama Islam di sepanjang zaman dengan kesetiaan dan penglibatan umat Islam berbagai bangsa.
Allah Taala berfirman :

“(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian – kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” – Surah Muhammad:38
Maka penjelasan berkenaan nasionalisme yang menjadikan semangat kebangsaan itu satu ideologi perjuangan sangat penting difahami, supaya setiap penganut Islam tidak terjerumus ke dalam fanatik perkauman jahiliyah yang merosakkan tasawur Islam dan tidak menyelamatkan umat dan bangsa dengan Islam.
Allah juga mengurniakan tokoh para ulama yang tersohor dalam ilmu Islam, daripada kalangan dan kepelbagaian bangsa yang menganut Islam, termasuk bukan berbangsa Arab, seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Hanifah, Imam AI Ghazali, Imam Al Haramain dan lain-lain lagi.
Risalah ringkas ini sekadar membuka minda untuk mengembalikan semua pihak kepada landasan hidup vang diredhai Allah, dengan kembali kepada sumber yang terpelihara kebenaran dan kesahihannya, iaitu al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W, “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (Al Quran) dan Sunnah NabiNya S.A.W.”
No comments:
Post a Comment