Thursday, December 8, 2011

Bolehkah Taruh Harapan Kepada Sekolah Harapan


1) Inilah masalah yang melanda negara kita.  Bukan setakat masalah sosial yang melanda tetapi masalah kecelaruan pemikiran pada pemimpin mengenai sesuatu isu dan bagaimana menanganinya.  Inilah masalahnya apabila ada golongan yang sangat cepat mengeluarkan idea tetapi tidak berlandaskan fakta daripada penyelidikan yang terperinci. 

2) Menangani masalah kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi bukan sekadar membuat program dan kempen serta menyediakan sekolah untuk remaja yang berkaitan.  Ini kerana langkah ini bukan sahaja berat sebelah kerana si lelaki yang bertanggung-jawab menyebabkan kehamilan dan bersubahat membuang bayi berkemungkinan besar terlepas dan tidak menjalani apa-apa program pemulihan.

3) Bolehkah di letakkan harapan kepada Sekolah Harapan di Melaka ini? Apakah program atau kurikulum yang disediakan untuk penghuninya?  Sudahkah dibuat kajian yang rapi dan terperinci sebelum sekolah itu dibuka?  Ini kerana mereka yang bakal menjadi penghuninya sudah pasti datang dari latar belakang keluarga, sosioekonomi dan etnik yang berbeza.  Sebab mereka hamil juga berbeza; ada yang disebabkan rogol, paksaan, sumbang mahram  atau suka sama suka.

4) Saya berpendapat bahawa meletakkan para remaja di institusi bukanlah satu penyelesaian kepada masalah berkenaan. Remaja yang terlibat harus kembali kepada keluarga. Keluarga dan komuniti perlu memikul tanggung-jawab membimbing remaja-remaja berkenaan.






5) Ibu bapa dan keluarga mungkin malu dengan apa yang berlaku. Ahli komuniti pula mungkin memandang serong.  Akan tetapi  ini adalah perkara biasa dalam kehidupan.  Kesilapan dan dosa yang telah dilakukan adalah pengajaran untuk memperbaiki kehidupan seterusnya bukan sahaja oleh remaja berkenaan, malah kesilapan yang yang telah berlaku itu juga sebahagiannya disebabkan oleh kesalahan dan kelemahan keluarga, komuniti/masyarakat dan pemerintah juga yang lalai dengan tanggung-jawab mereka.  


6) Memandangkan remaja yang terlibat perlu berhadapan dengan komuniti dan kehidupan sebenar dalam komuniti dan masyarakat yang lebih besar maka saya kira dia perlu meneruskan hidup dalam masyarakat dan bukan melarikan diri atau membawa mereka keluar. 


7) Sebaliknya jika remaja berkenaan di tempatkan di institusi, dia akan menghadapi masalah apabila keluar dari institusi, apabila dia perlu berhadapan dengan keluarga dan komuniti sekeliling  yang mungkin akan terus memandang serong terhadapnya.  Dia mungkin berhadapan dengan masalah untuk menyesuaikan diri dengan rakan sebaya malah seluruh komuniti. Apabila hidupnya tidak menentu dan terumbang ambing kebarangkalian untuk dia mengulangi episod lama adalah tinggi.


8) Pada saya sekolah harapan hanya sebuah projek peribadi tidak mempunyai asas yang kukuh dalam usaha menangani masalah sosial. Dalam menangani masalah sosial, penyelidikan sosial yang terperinci dan sistematik perlu dilakukan dengan serius.  “Bank data” mengenai isu sosial perlu dikumpul dengan sistematik agar program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan kepada kumpulan sasar sebelum dasar sosial digubal.

Artikel penuh, klik link ini: "Bolehkah Taruh Harapan Kepada Sekolah Harapan"
Ditulis oleh Dr.Fatimah Abdullah (mantan Prof Madya dalam bidang Sosiologi Keluarga di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia)





No comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls