Kefahaman nasionalisme telah menjadi ideologi perjuangan kebanyakan bangsa dan negara di seluruh dunia. Fahaman ini juga menjadi akidah perjuangan yang dijunjung tinggi, bukan sahaja kerana ia dipergunakan dalam perjuangan kemerdekaan menentang penjajah asing yang zalim, tetapi fahaman nasionalisme ini diteruskan sekalipuan selepas penjajah itu keluar dan negara berkenaan mencapai kemerdekaannya.

Kadangkala fahaman nasionalisme dijadikan teras negara sehingga ada yang terlanjur berlaku zalim pula apabila adanya masyarakat majmuk dalam negara itu atau negara jirannya. Semua ini berlaku walaupun dunia akhir zaman ini berada di puncak kemajuan teknologi, khususnya dalam lapangan perhubungan dan maklumat. Ideologi ini turut diikuti dan dianuti oleh umat Islam di zaman kejatuhan khilafah, sehingga tanahair umat Islam dijajah akibat perpecahan kaum dan bangsa yang menganut Islam.
Apa yang lebih parah lagi ada pula yang terlibat bersama musuh menjatuhkan kepimpinan kerajaan Islam yang tidak sebangsa dengan mereka. Akibatnya bumi Islam dijajah dan dibahagikan di kalangan bangsa dan negara yang menjajah umat Islam. Mereka mencapai kemerdekaan pula dengan semangat kebangsaan masing-masing dan mengisi kemerdekaan dengan semangat yang sama, walaupun dalam masyarakat majmuk.