Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka (DPPNM) merakamkan ucapan Takziah kepada keluarga Allahyarham murabbi dan juga tokoh dakwah yang disegani, Allahyarham Tuan Guru Datuk Ustaz Yahya Othman, 76, yang meninggal dunia kira-kira jam 6.15 petang semalam di kediamannya di Kelantan.
DPPNM menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar tokoh murabbi dan pendakwah tanahair yang banyak memberikan sumbangan kepada perkembangan dan kemajuan Islam tanahair.
DPPNM mendoakan agar roh beliau ditempatkan bersama-sama para anbia,para sahabat dan para solihin di atas sumbangan beliau selama ini kepada umat Islam.
-Alfatihah-
Ustaz Yahya Othman meninggal dunia
MACHANG: PAS hari ini kehilangan murabbi dan juga tokoh dakwah yang disegani, Datuk Ustaz Yahya Othman, 76, yang meninggal dunia kira-kira jam 6.15 petang tadi di kediamannya di sini.
Menyorot latar belakang beliau, ketika dalam parti, Allahyarham merupakan bekas ahli Majlis Syura Ulama’ (pernah jadi setiausahanya yang pertama) selain pernah menjadi AJK PAS Pusat dan AJK Dewan Ulama’ PAS Pusat.
Beliau juga pernah menjawat jawatan YDP PAS Machang selama tempoh lebih kurang 20 tahun.
Di dalam kerjayanya pula, beliau pernah menjadi pensyarah dan Timbalan Pengetua Nilam Puri Kelantan sebelum bertanding dalam pilihanraya tahun 1978.
Pada pilihan raya 1990 beliau menang bertanding dan diamanahkan menjawat jawatan EXCO DUN Negeri Kelantan.
Beliau juga seorang pendidik yang gigih dan merupakan Pengasas Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Putra (Kias), pengasas Maahad Dakwah wa Imamah, pengasas dan pengarah Institut al-Nur dan lain-lain lagi.
Beliau banyak menghasilkan kertas-kertas kerja dalam sektor tarbiyah Islamiyyah. Antara karyanya yang popular dan sentiasa dijadikan rujukan oleh sekalian ahli-ahli PAS yang beristiqamah dalam aktiviti-aktiviti parti ialah; Amal Jamai (Pengertian dan Tuntutannya) dan juga Himpunan Kertas Kerja Tarbiyah.
PAS sebelum ini menobatkan beliau sebagai Murabbi PAS sepanjang zaman.
Difahamkan solat jenazah akan diadakan di kediaman beliau jam 9 pagi esok (15 Jun).
--- Harakahdaily, 14 Jun 2012 ---
No comments:
Post a Comment