Tuesday, May 15, 2012

Kecintaan Kepada Bangsa


Sifat kecintaan atau kasih kepada bangsa adalah menjadi sifat manusia, termasuk para Rasul A.S. Al Quran menceritakan ucapan Para Rasul ketika berdakwah kepada kaum masing-masing, mereka menggunakan bahasa yang menunjukkan kecintaan mereka kepada bangsanya dan merasa sedih apabila bangsanya ditimpa bencana kerana menolak seruan Allah dan perintahnya.

Firman Allah Taala :

“Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia berkata: Wahai kaum bangsaku! Abadikanlah diri kamu kepada Allah. Tiada lagi Tuhan kamu selain daripadanya. – Surah al A’raf:65

Dalam masa yang sama kadang-kadang semangat keluarga dan perkauman melindungi Rasul daripada musuhnya, Allah mengesahkan Nabi Syu’aib A.S. di dalam salah satu ayat al Quran :

“Mereka berkata; Wahai Syu’aib, kami tidak banyak mengerti tentang apa yang kamu katakan itu dan sesungguhnya kami benar-benar melihat kamu seorang yang lemah di kalangan kami, kalau tidaklah kerana keluargamu tentulah kami telah merejam-mu, sedang kamupun bukanlah seorang yang berwibawa di sisi kami. Syu’aib menjawab; Wahai kaumku, apakah keluargaku lebih dimuliakan menurut pandanganmu daripada Allah, sedang Allah kamu jadikan sesuatu yang terbuang di belakangmu? Sesungguhnya (pengetahuan) Tuhanku meliputi apa yang kamu kerjakan.”

Allah turut berfirman mengesahkan Nabi Lut A.S :
“Lut berkata; Seandainya aku mempunyai kekuatan (untuk menolakmu) atau kalau aku dapat berlindung kepada dokongan yang kuat (keluarga yang kuat).” – Surah Hud:80

Berhubung dengan ayat ini Rasulullah S.A.W bersabda, “Rahmat Allah kepada Lut, sebenarnya dia telah berada dalam perlindungan dokongan yang kuat (Allah Taala). Maka Allah tidak melantik Nabi selepasnya, melainkan ada sumber penolong di kalangan kaumnya sendiri.”


Rasulullah S.A.W juga mendapat kawalan daripada keluarganya yang beriman dan yang tidak beriman tetapi bersemangat kekeluargaan, namun tidak berganjak terhadap keluarga yang menentang kerasulannya, seperti ketegasan Nabi Ibrahim A.S berhadapan ayahnya dan Rasulullah S.A.W terhadap bapa saudaranya Abu Lahab yang menentang Islam.

Ada kalangan para sahabat seperti Abu Bakar R.A dan lain-lain mendapat himayah (pembelaan) daripada keluarga yang tidak beriman. Keadaan ini menunjukkan bahawa Islam mengizinkan semangat kekeluargaan dan kebangsaan yang berpihak kepada Islam walaupun daripada kalangan bukan Islam, walaupun pembelaan oleh yang tidak berasaskan Islam tidak ada pahala kepada pendokongnya kerana semangat yang tidak berdasarkan kepada iman.

Rasulullah S.A.W menetapkan garis panduan yang nyata dalam menghadapi sokongan keluarganya yang dikumpulkan oleh Abu Talib. Apabila Abu Talib menyampaikan kepadanya pengaduan pemimpin musyrikin supaya meninggalkan prinsip tauhid yang menolak syirik, dengan tegas Rasulullah S.A.W bersabda, “Wahai bapa saudara kesayanganku! Demi Allah kalau sekiranya mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku supaya aku meninggalkan urusan(dakwah) ini, nescaya aku tidak meninggalkannya sehinggalah Allah memenangkannya atau dibinasakan kerananya.”

Akhirnya Abu Talib memberi jaminan pembelaan keluarga kepada Baginda S.A.W sekalipun tidak menganut Islam.

No comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls