Jadilah Rabbani, Bukan Ramadhani
1) Realiti yang kita dapat lihat di kala Ramadhan tiba, manusia berduyun-duyun memenuhi masjid, beriktikaf, bertilawah, bertarawih, bertahajjud dan seribu macam lagi kebaikan. Semuanya berebut-rebut mendapatkan peluang di dalam bulan Ramadhan. Namun, adakah stamina yang dijana di dalam bulan Ramadhan terus dipacu untuk menjadi modal beribadah di bulan-bulan seterusnya? Atau dengan terbenamnya matahari pada petang 30 Ramadhan turut sama membenamkan semangat beribadah dan kembali bertuhankan nafsu?
2) Ini bukanlah apa sebenarnya yang diingini daripada madrasah Ramadhan. Rahmat Allah Taala tidak pernah terputus dan berhenti dengan berlalunya bulan Ramadhan. Seorang sufi bernama Sheikh Bisyr Al Hafi pernah mencemuh senario umat Islam yang hanya melipat-gandakan amalan di bulan Ramadhan dan tidak pula di bulan-bulan yang lain. Katanya, “Seburuk-buruk kaum adalah yang tidak mengetahui hak Allah kecuali di bulan Ramadhan. Orang soleh akan selalu bersungguh-sungguh beribadah sepanjang tahun”.
3) Adakalanya segelintir para selebriti wanita memakai hijab anggun di bulan Ramadhan, bila berakhirnya Ramadhan hijab mereka-pun hilang ditiup taufan.
4) Inilah juga yang selalu dikesalkan oleh Para Salafussoleh (orang soleh terdahulu), di antara umat Islam ada yang beribadah dibulan Ramadhan seolah-olah bertuhankan Ramadhan, bukannya Tuhan yang mencipta alam. Semoga kita dijauhkan dari sifat buruk tersebut, Amin. Dari hal seumpama, Imam Hasan Al Basri R.H menegaskan,“Sesungguhnya Allah tidak membatasi amal seorang Mukmin dengan suatu waktu tertentu selain kematian”. Kemudian beliau membaca firman Allah Taala, Surah Al Hijr ayat ke-99, “Dan sembahlah Rabb-mu sampai kematian mendatangimu”. – Latho 'ifu 'l Ma'arif: 261.
5) Maka, untuk mencapai martabat rabbani yang disebut oleh Para Salafussoleh, mestilah intinya berasaskan istiqomah, iaitu berterusan dalam melakukan amal ibadah. Hakikatnya, istiqomah itu bukan mudah dicapai oleh mana-mana manusia, bahkan Rasulullah S.A.W sendiri merasakan beratnya istiqomah sehingga ketika diturunkan ayat tentang perintah istiqomah, rambut Baginda beruban.
6) Ayat itu berbunyi, “Maka istiqamahlah kamu, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan”. – Surah Hud:112.
7) Ketika menafsirkan ayat ini, Sayyid Qutb dalam Tafsir Fii Zhilalil Quran mengetengahkan sebuah hadis Nabi yang berbunyi, “Surat Hud telah membuat rambutku beruban” – Sayyabatni Hud.
8) Baginda S.A.W turut menyebut dalam sepotong hadith yang direkodkan dari Ibn Abbas R.A, “Itulah beban surah Hud, surah yang memperkatakan tentang istiqamah, bahawa setelah hati disentuh iman, hidup bersama iman dan akhirnya mati dengan iman”.
10) Lalu, bagaimanakah Ramadhan dan segalanya boleh kekal hingga ke penghujungnya sebagai bulan kebaikan kepada bulan-bulan yang lain? Perhatikanlah sabda Rasulullah S.A.W, “Amal yang paling dicintai Allah adalah yang terus menerus (istiqomah) meskipun sedikit” - Riwayat Bukhari dan Muslim.
No comments:
Post a Comment