Tuesday, August 23, 2011

SPR Telah Hilang Kredibiliti...!!!

1. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia telah hilang wibawa dan tidak lagi mempunyai status layak untuk mengendali sistem pilihanraya negara. Terlalu banyak kepincangan dan kelemahan yang menjejaskan nilai telus dan saksama dalam pengurusan dan pengendalian sebuah pilihanraya dalam negara demokrasi seperti Malaysia.
2. Pendedahan demi pendedahan oleh orang ramai dan parti - parti politik yang menyertai pilihanraya tidak mampu disangkal lagi, malah ianya telah melurut jatuh seluruh uniform Pengarah dan Timbalan Pengarah SPR dihadapan umum. Sangat memalukan dan sungguh menjengkelkan, apabila SPR kini berdepan dengan krisis integriti.
3. Bermula dengan pendedahan pegawai tentera yang mengaku memangkah atau mengundi bagi pihak undi pos, status pengundi yang pantas berubah dari My PR di waktu pagi kepada My Kad di sebelah petang pada hari yang sama, senarai nama pemilih yang banyak bertindih, berdaftar pula pada satu alamat dengan puluhan atau ratusan pemilih, senarai pemilih yang tiada dalam data Jabatan Pendaftaran Negara tetapi ada dalam daftar pemilih SPR, senarai pemilih yang telah meninggal dunia sejak bertahun lamanya masih tersenarai dan terbaru sebuah kampung bernama Kg Baru disenaraikan sebagai pemilih dan banyak lagi dan banyak lagi dan banyak lagi ....
4. Ringkasnya, negara tidak boleh menghadapi pilihanraya berhakimkan SPR yang kini telah mengalami kecacatan parah pada nilai kepercayaan awam terhadap ketelusan dan keadilan mereka mengendalikan pilihanraya. SPR kini tiada pilihan melainkan hanya terpaksa berdepan dengan 3 keadaan :
a] Yang di Pertuan Agong merombak Suruhanjaya Pilihanraya yang ada pada hari ini.
b] Pengarah dan Timbalan Pengarahnya meletakkan jawatan segera
c] Merombak keseluruhan struktur Suruhanjaya ini dan membuat penstrukturan baru dengan penyertaan parti - parti politik yang bertanding serta pemerhati bebas dari peringkat antarabangsa.
5. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak agar salah satu pilihan di atas dikenakan kepada SPR sebelum terlambat. Tiada makna lagi pilihanraya, jika pengurusnya tidak telus dan pengadilnya tidak adil. Sebelum negara kita dipersenda oleh dunia antarabangsa dan rakyat seluruhnya hilang sabar dan kepercayaannya kepada SPR.
6. Saya mengambil kesempatan di bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan ini, dengan satu ketetapan dan penegasan kepada semua jentera pilihanraya pemuda di peringkat negeri dan kawasan agar menganjurkan sekurang - kurangnya ( 3 kali ) Malam Munajat Pilihanraya [MMP], terutama saat kita meniti 10 akhir Ramadhanuntuk memohon pertolongan Allah swt menghadapi makar atau tipu helah mereka yang telah hilang rasional semata - mata mahu mengekalkan survival kuasa pemerintahan mereka lalu mengabaikan amanah dan tanggubgjawab mereka untuk berlaku adil dan telus.
7. Lajnah Keahlian dan Ulama' Pelapis mungkin boleh membantu untuk memimpin Malam Munajat Pilihanraya [MMP] anjuran Jabatan Pilihanraya Pemuda di peringkat negeri dan kawasan. Nampaknya, hanya Allah swt boleh mendisiplinkan SPR. KepadaNya kita bermunajat dan kepadaNya jua kita bertawakkal.

No comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls